Monday, 14 November 2016

Salehuddin Al- Ayubbi


Image result for Salahuddin Al- Ayubi

Bincangkan sumbangan Salehuddin al-Ayyubi dalam bidang ekonomi, politik dan sosial.
 



Pengenalan 
          Salehuddin al-Ayyubi atau nama penuhnya Salahuddin Yusof bin Najmuddin Ayub berketurunan Kurdi dari kaum Quraisy suku Ruwaidhah. Di dunia Eropah, beliau digelar sebagai Saladin. Beliau merupakan seorang panglima tentera, pemimpin dan pentadbir negara yang berbakat tinggi dan masyhur semasa Perang Salib. Kejayaan terbesar ialah mengalahkan kerajaan tentera Salib serta mengambil semula Baitulmaqdis dan Palestin daripada penguasaan Kristian pada abad ke12M.
Isi
          Sumbangan Salehuddin al-Ayyubi boleh dilihat dari aspek sosial. Beliau memberi penekanan kepada pemulihan banteng kota Kaherah yang diawasi oleh al-Tawasyi iaitu seorang jurutera bangunan. Benteng ini dibina untuk mengawal negara daripada diceroboh musuh. Beliau juga mengarahkan pembinaan kubu Qal’ah al-Jabal bagi membendung saki-baki musuh yang masih ada di Kaherah. 
          Selain itu, Salehuddin al-Ayyubi juga membangunkan Pasar al-Raudah dan al-Gizah. ‘Diwan Armada’ turut ditubuhkan untuk menyelia urusan pembinaan kapal-kapal perang dan armada perang yang besar. Beliau turut mengubah sebuah dewan dalam istana lama untuk dijadikan sebagai hospital. Sebuah bangunan gedung ubat-ubatan disediakan bagi mengagihkan ubat kepada pesakit. Hospital ini menyediakan sebuah ruangan khas untuk pesakit wanita dan pesakita mental.
          Sebagai seorang yang cintakan ilmu pengetahuan, beliau membina banyak sekolah dan menjemput golongan ulama dan cerdik pandai. Sistem pendidikan pra sekolah iaitu al-Katib diperkenalkan bagi menggalakkan kanak-kanak mempelajari al Quran, menghafal hadis serta meningkatkan kemahiran seni khat selain diajar asas ilmu matematik, syair, kata-kata hikmat serta beribadat.
          Dalam bidang politik, Salehuddin al-Ayyubi berjaya membebaskan kota Baitulmaqdis daripada cengkaman golongan Kristian. Beliau memastikan kesucian kota Baitulmaqdis dipelihara dengan menandatangani perjanjian bersama orang Kristian. Beliau mengamalkan dasar toleransi dengan penganut Kristian dengan membenarkan mereka mengunjungi kota Baitulmaqdis untuk beribadat dan berziarah.
          Dalam bidang ekonomi, Salehuddin al-Ayyubi telah meningkatkan sumber pendapatan negara melalui pembayaran jizyah, fidyah dan harta rampasan perang. Selain itu, beliau telah menghapuskan cukai-cukai yang membebankan. Sektor pertanian dan perdagangan pula dimajukan.
Penutup
          Sumbangan Salehuddin al-Ayubi dalam perkembangan dan kesucian agama Islam amat besar khasnya kejayaan mengembalikan kota suci Baitulmaqdis. Beliau turut berusaha memulihkan imej umat Islam.   

Khalifah Abu Bakar Al Siddiq


Image result for abu bakar al siddiq



Soalan:  Pelantikan Abu Bakar al-Siddiq sebagai khalifah pertama kerajaan Islam Madinah telah menyaksikan beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah terutama semasa awal pemerintahannya. Bincangkan.
                Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dilahirkan di Kota Makkah. Beliau memiliki keperibadian yang mulia. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar al-Siddiq telah sebagai Khalifah al-Rasyidin yang pertama. Semasa zaman pemerintahannya, beliau berdepan dengan pelbagai masalah yang membelenggu umat serta negara Islam.
                Masalah pertama yang beliau hadapi ialah isu kepimpinan yang berkaitan dengan pelantikan khalifah. Bagi mengatasi isu ini, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah mewasiatkan kepada umat Islam agar melantik Umar al-Khattab sebagai khalifah kedua yang akan menggantikan beliau nanti. Pemilihan Umar al-Khattab adalah disebabkan kelayakan serta pengalaman yang beliau miliki. Tujuan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq mencadangkan idea ini adalah untuk mengelakkan berlakunya konflik dan perebutan dalam pemilihan khalifah sebagaimana peristiwa yang berlaku sebelum pelantikan beliau sebagai khalifah pertama.
Masalah akidah juga timbul selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq terpaksa berdepan dengan golongan ar-Riddah iaitu golongan nabi palsu, golongan yang enggan membayar zakat dan golongan murtad. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq cuba menyelesaikan masalah ini secara rundingan atau diplomasi. Namun usaha beliau tidak berhasil. Akhirnya, beliau terpaksa  menggunakan kekuatan ketenteraan. Pasukan yang dibentuk oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq ini berjaya mengalahkan golongan ar-Riddah dalam Perang ar-Riddah.
                Seterusnya, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq juga berdepan dengan ancaman oleh musuh kerajaan Islam. Oleh itu, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah mengarahkan pasukan tentera  di bawah pimpinan Usamah bin Zaid ke sempadan Syam untuk menyerang Ghassan yang ketika itu di bawah jajahan Rom. Pasukan tentera ini telah memperoleh kemenangan. Kejayaan tersebut telah membuktikan kekuatan tentera Islam sehingga menimbulkan ketakutan kepada musuh yang selama ini ingin menyerang Madinah. Kekuatan tentera Islam ini secara langsung berjaya membendung ancaman oleh kaum Zubyan dan Absy terhadap Madinah.
                Selain itu, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq juga berdepan dengan masalah kebimbangan umat Islam akan kehilangan dan penyelewengan ayat-ayat al-Quran. Hal ini berikutan kematian ramai huffaz semasa usaha memerangi golongan ar-Riddah. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah mengambil inisiatif  mengarahkan usaha mengumpul semula ayat-ayat al-Quran. Usaha menyalin semula ayat-ayat yang telah dikumpul telah diamanahkan kepada Zaid bin Thabit. Setelah siap, naskah al-Quran tersebut kemudian telah diserahkan kepada Khalifah Abu Bakar al-Siddiq untuk disimpan.
                Kesimpulannya, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq berjaya menangani pelbagai masalah  yang timbul terutama diawal pemerintahannya. Kewibawaan  beliau  sebagai khalifah  berjaya mengembalikan kestabilan negara Islam.

Al Mausdi.


  


Image result for imej of al mausdi   



Contoh esei: Al-Mas’udi adalah tokoh pelayaran yang banyak  memberikan sumbangan besar dalam bidang geografi. Bincangkan.
                Al-Mas’udi merupakan tokoh pelayar yang berasal dari Iraq. Beliau pernah berlayar ke Parsi, India, China, Indochina, Madagascar, Zanzibar dan Oman. Beliau telah merakamkan semua pengalaman pelayarannya dalam karya beliau. Karya beliau inilah yang telah banyak memberi impak dalam bidang geografi.
                Antara sumbangan al-Mas;udi ialah penghasilan karya agungnya iaitu Muruj al-Dhahabwa Ma’adin al-Jawahir. Karya agung beliau ini dianggap sebagai ensiklopedia geografi paling awal. Gaya penulisannya yang menggabungkan ilmu geografi dan disiplin sejarah telah menjadikan karya beliau sebagai karya yang cukup menarik. Beliau telah menghuraikan dan menggambarkan keadaan perairan Laut Mati, gempa bumi dan tajuk-tajuk lain yang berkaitan dengan geologi dengan terperinci.
                Karya beliau jelas menunjukkan beliau  menyokong Teori Determinisme Alam Sekitar. Teori ini menganggap bahawa faktor persekitaran seperti iklim yang dipengaruhi oleh planet mempunyai pengaruh yang rapat dengan sikap manusia. Misalnya, matahari dan bulan dikatakan menentukan nasib dan hidup orang dari utara menyebabkan mereka berbakat tinggi dalam aspek peperangan berbanding manusia di selatan yang mempunyai sifat lebih suka hidup dalam suasana aman.
                Selain itu, beliau juga mengaitkan fenomena alam semula jadi dengan kehidupan manusia. Sebagai contoh, beliau mengatakan perwatakan serta gaya hidup masyakat Arab Badwi amat berkait rapat dengan kualiti alam sekitarnya. Al-Mas’udi juga berpendapat bahawa iklim turut mempengaruhi keadaan fizikal sesuatu kaum. Menurutnya, hal ini dapat diperhatikan melalui contoh yang beliau berikan berkaitan  perbezaan warna kulit orang Turki yang tinggal di utara India dengan orang Turki yang tinggal di Turki.
Dalam karyanya,  al-Mas’udi juga menggambarkan dan menerangkan keadaan persekitaran atau geografi kawasan di India khususnya tentang flora dan fauna yang terdapat di tepi Laut Combay. Buah oren, kelapa, burung merak, gajah dan burung kakak tua adalah antara subjek yang menjadi kajian beliau. Beliau berjaya menjelaskan secara terperinci kawasan-kawasan di India seperti Makran, Sind dan pantai Barat India. Beliau juga telah menghapuskan kekeliruan tentang nama-nama sungai yang dilalui semasa pelayaran di samping menerangkan tentang keadaan, lokasi dan aktiviti masyarakat India.
Di samping itu, Al-Mas’udi juga membahagikan bumi kepada dua garisan iaitu garisan bujur dan garisan lintang. Penentuan garis-garis tersebut menentukan waktu, sifat iklim dan kedudukan. Ilmu ini menjadi asas kepada ilmu pelayaran. Beliau turut menjelaskan bahawa jarak antara benua Eropah dengan China ialah setengah dari pada lingkungan bumi.
                Kejayaan beliau seterusnya ialah  membetulkan kefahaman dalam kalangan pelayar yang menyatakan setiap laut wujud secara berasingan. Menurut al-Mas’udi, Laut Parsi, Laut China, Laut Rom dan Laut Syria adalah bersambungan antara satu sama lain.
                Kesimpulannya, sumbangan al-Mas’udi  dalam bidang geografi memang tidak dapat disangkal lagi. Al-Mas’udi boleh dianggap sebagai tokoh yang berkebolehan dalam bidang geografi, sejarah dan fizik. Sumbangan beliau dalam bidang tersebut member impak yang besar sehingga ke hari ini.